Thursday, September 11, 2008

Sotong 450kg ditangkap

WELLINGTON: Sekumpulan nelayan di New Zealand berjaya menangkap seekor sotong gergasi dipercayai yang terbesar setakat ini dengan berat 450 kilogram manakala ukur lilitnya sama besar dengan tayar.

Sotong dewasa itu ditangkap ketika nelayan menjaring ikan di laut dalam Antartika, kata Menteri Perikanan New Zealand, Jim Anderton ketika mengumumkan mengenai penangkapan itu.

Sotong itu masih hidup ketika ditangkap dan sedang memakan umpan ikan ketika ditarik ke atas kapal, kata Jim dalam kenyataannya.

“Ia, bagaimanapun, hampir mati ketika tiba di permukaan dan nelayan menaikkannya dengan berhati-hati untuk memastikan haiwan itu di dalam keadaan baik. Ia kini dibekukan untuk dibawa pulang ke New Zealand bagi tujuan penyelidikan saintifik,” katanya.

Sotong gergasi adalah antara haiwan laut dalam paling misteri dan boleh membesar sehingga 14 meter panjang.

“Kajian berterusan terhadap haiwan ini akan dapat membantu membongkar misteri laut dalam kerana sehingga kini persoalan asas mengenai berapa besar saiz sebenar haiwan ini, pemakanan dan jangka hayatnya belum lagi diketahui,” kata Jim.

Berat sotong terbaru ditangkap itu adalah 150 kilogram lebih berat daripada sotong terbesar ditangkap sebelum ini, meskipun pakar belum memeriksanya.

Kali pertama sotong itu ditangkap adalah pada April 2004 di Laut Ross dekat Antartik, seekor sotong betina seberat 150 kilogram.

Steve O’Shea, pakar sotong di Universititi Teknologi Auckland, berkata sotong terbaru lebih besar lagi dan saintis tentu tak sabar-sabar melihatnya.

“Saya boleh beri jaminan bahawa perkara ini akan menarik minat besar. Ia sesuatu yang menakjubkan,” katanya.

Sotong gergasi itu boleh bergerak hingga sedalam 2,000 meter, spesies yang aktif dan boleh membunuh, katanya lagi.

Sampel sotong gergasi yang dibekukan itu akan dihantar ke Muzium Kebangsaan New Zealand, Te Papa di ibu negara, Wellington.

Saintis hidupan laut tentu berminat mengkaji haiwan menakjubkan ini kerana ia akan membolehkan kita mendalami hidupan marin, kata Anderton.

Sotong gergasi itu hanya boleh ditemui di perairan Antartik dan tidak ada kaitan dengan sejenis sotong bersaiz besar di perairan New Zealand yang boleh membesar hingga 12 meter dan tidak seberat spesies Antartika.

No comments: