Thursday, January 8, 2009

Asia Selatan lubuk ular berbisa

Kira-kira 20,000 orang mati dipatuk reptilia setahun

SEBUT saja ular pasti ramai yang bukan saja berasa geli, tetapi tidak kurang yang gerun dengan reptilia ini, khususnya yang jenis berbisa kerana mampu membunuh dengan cuma satu patukan saja.

Namun, tahukah anda di pelusuk mana dunia yang menjadi lubuk maut reptilia ini? Pasti ramai yang menuding ke arah Amerika Selatan, khususnya di hutan belantara Amazon yang diketahui antara hutan tertua dengan pelbagai spesies berbisa menjadikan kawasan ini habitatnya.
Andai itu jawapan anda, terbukti sangkaan anda meleset sama sekali. Ini disebabkan lubuk ular itu terletak di kawasan yang amat hampir dengan kita iaitu di kawasan Asia Selatan.

Inilah hasil laporan kajian terbaru ke atas 68 negara yang menunjukkan Asia Selatan menjadi lubuk patukan ular tertinggi di dunia iaitu kira-kira 421,000 orang dipatuk setiap tahun!

Lebih menakutkan, patukan itu meragut kira-kira 20,000 nyawa setahun, kata kajian sekumpulan penyelidik Sri Lanka yang disiarkan edisi terbaru Public Library of Science Medicine, media yang berpejabat di Amerika Syarikat.
India yang didiami lebih satu bilion penduduk, menjadi negara yang mencatatkan kes patukan maut atau biasa yang tertinggi di dunia iaitu 80,000 kes setahun. Daripada jumlah itu, 11,000 kes menyebabkan maut.

Sri Lanka pula menduduki tempat kedua dengan 33,000 orang dipatuk ular setahun.

Anehnya, sebahagian besar mangsa adalah lelaki. Ini mungkin berkaitan dengan faktor golongan itu yang lebih ramai bekerja mencari rezeki berbanding kaum wanita.

Saintis Universiti Kelaniya di Sri Lanka, Janaka De Silva yang mengetuai penyelidikan itu bagaimanapun menegaskan bilangan 421,000 kes patukan ular itu hanyalah anggaran kasar dan jumlah sebenar mungkin jauh lebih tinggi.

“Ini disebabkan kes dipatuk ular berbeza mengikut faktor geografi dan bermusim dan tidak ramai yang membuat laporan rasmi apabila menjadi mangsa.

“Lebih sukar lagi, rawatan bagi mengatasi kes berkenaan juga berbeza antara perubatan moden, tradisional serta amalan masyarakat setempat itu sendiri,” katanya.

De Silva berkata, ancaman dan impak sebenar kesihatan akibat dipatuk ular itu juga tidak diketahui.

Ini sekali gus menyukarkan pegawai kesihatan umum memaksimumkan kaedah pencegahan dan rawatan akibat dipatuk ular di negara masing-masing.

Namun sejauh manakah daripada kita yang benar-benar mengenali reptilia yang pada bila-bila masa dan secara tiba-tiba boleh muncul di kawasan belukar berhampiran rumah atau sama-sama berenang ketika mengharungi banjir?

Percaya atau tidak, ada kira-kira 3,000 spesies ular yang menghuni dunia ketika ini dan 600 daripadanya adalah jenis berbisa.

Ia boleh wujud di mana-mana di dunia, dari Britain, Afrika hinggalah ke Australia, kecuali di Antartika yang diketahui mempunyai cuaca sejuk yang amat ekstrim.

Ini disebabkan haiwan berdarah sejuk itu tidak boleh hidup di kawasan sejuk.

Ular berkongsi spesies keluarga ‘Squamata’ seperti biawak dan disifatkan reptilia paling muda. Ia melalui proses evolusi yang menyaksikannya kehilangan kaki seperti yang kelihatan sekarang.

Ular jenis Ananconda Hijau dikatakan yang terbesar iaitu panjangnya mencecah 8.8 meter dan beratnya, 227 kilogram. Lebarnya pula adalah kira-kira 30 sentimeter dan ia hidup di kawasan sekitar lembah Sungai Amazon dan Orinoco.

Pada Ogos lalu, dunia dikejutkan dengan penemuan apa disifatkan spesies ular terkecil dunia di Kepulauan Barbados. Saiznya tidak melebihi cacing tanah dengan panjangnya kira-kira 10 sentimeter. Ular berwarna perang itu bagaimanapun memakan mangsa dan disenaraikan sebagai tidak berbisa.

Hakikatnya, baik ular tedung yang diketahui paling berbisa dan anaconda si gergasi ular sama ada yang boleh dilihat hinggalah ke dalam filem, reptilia ini terlalu rapat dengan manusia. Ada yang menjadikannya peliharaan, tidak kurang yang menganggapnya sebagai musuh berikutan patukan bisa serta kuasa belitan si ular sawa yang boleh membawa maut.

Apa yang pasti, setiap kali ada berita mengenai ular, ia pasti menarik minat ramai yang mahu mengenali reptilia yang gaya gerakannya kelihatan menarik tetapi mampu meragut nyawa dengan hanya satu patukan.

INFO

Menarik mengenai ular

# Ular terbesar jenis Anaconda Hijau yang panjangnya boleh mencecah 8.8 meter

# Ular terkecil di dunia ditemui di Kepulauan Barbados, dengan panjangnya kira-kira 10 sentimeter

# Boleh hidup tanpa sebarang makanan selama beberapa hari hingga beberapa bulan kerana kadar metaboliknya yang rendah, selepas sekali makan

# Menjadi semakin aktif apabila cuaca bertambah panas

# Bisa ular digunakan bagi menghasilkan anti bisa dan ubat penyelamat nyawa yang lain

# Sukar membezakan ular jantan dan betina

p/s: sumber Berita Harian # Khamis, 08 Januari 2009

Wednesday, November 5, 2008

Bagaikan 'bom jangka'...

Dengan kalori yang tinggi termasuk lemak tepu dan lemak trans, kentang goreng lebih memudaratkan kesihatan anda.


Dewasa ini, kulinari Barat semakin diterima dalam menu hidangan kebanyakan rakyat Malaysia. Kentang goreng adalah antara yang bukan lagi asing. Daripada menjadi hidangan popular di restoran makanan segera atau dihidangkan bersama sajian Barat seperti stik atau digoreng sendiri di rumah, kentang goreng begitu mudah diperoleh di mana-mana sahaja.

Kesedaran masyarakat terhadap kesihatan hari ini yang semakin tinggi mendorong kebanyakan daripada kita menyedari keburukan di sebalik kelazatan kentang goreng.

Walaupun, kentang sebenarnya merupakan sumber karbohidrat yang baik, tetapi penyediaan kentang yang digoreng kemudian ditaburkan pula dengan perasa seperti garam menyebabkan menu ini lebih banyak mendatangkan keburukan.


Apatah lagi jika hidangan ini dinikmati di restoran, biasanya minyak yang digunakan untuk menggoreng digunakan berulang-ulang kali sehingga selalunya warna minyak bertukar hitam. Menurut pakar pemakanan Institut Jantung Negara, Mary Easaw, minyak digunakan berkali-kali akan menyebabkan kandungan kalori pada makanan yang digoreng semakin tinggi dan membahayakan kesihatan.

Malah, penyelidikan nutrisi antarabangsa mendedahkan dalam satu hidangan kentang goreng, biasanya kandungan kalori hampir separuh daripada keseluruhan nutrisi yang ditawarkan sajian itu.


Fakta nutrisi menyatakan bagi satu hidangan besar kentang goreng sekitar 169 gram, ia mempunyai 539 kalori, 63.4 gram karbohidrat dan 28.8 gram lemak iaitu 6.7 gram lemak tepu, 7.4 gram lemak trans serta lain-lain.

Tahukah anda berapa lama masa yang anda perlu untuk membakar 539 kalori? Ia bersamaan dengan 40 hingga 60 minit berlari di atas treadmill. Persoalannya, kalau anda fikir kembali, berapa kerapkah anda bersenam dan keduanya, sekiranya anda berada di atas treadmill, berapa lama biasanya anda melakukan larian?

Bagi yang pernah menggunakan treadmill, pasti sudah dapat membayangkan ia bukanlah sesuatu yang berbaloi untuk berlari selama satu jam hanya untuk membakar satu hidangan kentang goreng.

Bagaimanapun, sebagai satu penulisan yang adil, perlu untuk pembaca ruangan ini menyenaraikan juga nutrisi baik yang terkandung di dalam kentang goreng. Satu hidangan besar kentang goreng juga mempunyai dua peratus kalsium, 13 peratus zat besi, lapan peratus vitamin C dan 5.9 gram fiber.

Namun begitu, selain kebimbangan mengenai kandungan kalori yang tinggi, satu lagi kerisauan pakar pemakanan ialah keburukan lemak tepu dan lemak trans. Kajian mendapati kedua-dua lemak ini meningkatkan kolesterol jahat (LDL) sekali gus mendorong kepada risiko penyakit jantung koronori (CAD).

Malah, dengan ramai ibu bapa sudah menghidangkan anak-anak mereka dengan kentang goreng setiap hari, anak kecil anda terdedah untuk mendapat penyakit jantung lebih awal daripada biasa.

Perunding Kardiologi dan Elektrofisiologi, Datuk Dr. Azhari Rosman, menyatakan plak kolesterol sudah terjadi sejak seseorang berusia lapan tahun lagi. Plak kolesterol yang semakin tebal akan menyebabkan darah tersumbat dan menyebabkan CAD.

Potensi kulit durian rawat kanser...

GEORGE TOWN - Selama ini selain isi, kulit dan biji durian dibuang begitu sahaja. Bagaimanapun seorang saintis Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menggali potensi pangsa durian agar ia tidak terbuang begitu sahaja.

Kejayaan yang dicapai oleh Penyelidik Fakulti Teknologi Industri USM, Profesor Madya Azhar Mat Easa memang membanggakan kerana berjaya menukar pangsa durian kepada bahan yang mampu merawat kanser.

Pangsa durian kini boleh diproses menjadi serbuk atau modified Durian Rind Pectin (mDRP) dan boleh bertindak membuang logam berat dalam tubuh manusia.

Namun begitu, satu kajian yang lebih mendalam perlu dilakukan untuk membuktikan keupayaan mDRP itu sebagai agen membasmi kanser tetapi melalui petanda awal yang berjaya diperoleh, ia tidak mustahil untuk dilakukan.

"Kajian yang kita jalan selama dua tahun ini berjaya mendapatkan serbuk daripada pangsa durian itu yang mampu mengasingkan logam berat daripada tubuh manusia.

"Serbuk yang dicipta itu akan mengikat logam berat seperti raksa, arsenik dan plumbum yang ada dalam tubuh dan ia akan dikeluarkan dari tubuh sebagai najis," katanya pada sidang media di USM semalam.

Logam berat yang mengancam tubuh kita biasanya diterima daripada pelbagai punca seperti cat, ubat-ubatan tradisional, bateri, gam dan banyak lagi melalui sedutan, sentuhan atau makanan.

Antara ancaman logam berat itu kepada tubuh manusia ialah kegagalan untuk berfungsi pada buah pinggang, hati, otak, sistem saraf tunjang serta sistem pembiakan.

Sunday, October 26, 2008

Barah payu dara lelaki

Sejarah keluarga, obes berisiko diserang penyakit

WALAUPUN anda seorang lelaki, kemungkinan untuk diserang barah payu dara tetap ada, apatah lagi jika anda obes dan lahir dalam keluarga yang memiliki sejarah penyakit itu.

Pakar Bedah Am, Hospital Damai Jalan Ipoh, Dr Chaw Kien Chee, berkata umumnya peratusan kes barah payu dara lelaki agak kecil iaitu satu peratus dalam semua kes barah payu dara.

Bagaimanapun, katanya kerana kebanyakan lelaki beranggapan barah payu dara itu penyakit wanita, ada yang tidak mempedulikan simptom yang ada pada mereka.

Justeru, katanya, apabila pesakit lelaki datang mendapatkan rawatan kebanyakan mereka sudah berada di tahap akhir.

"Simptom paling ketara adalah ketulan di payu dara. Disebabkan payu dara lelaki lebih dekat dengan dada, ia lebih mudah merebak berbanding barah payu dara yang menyerang wanita," katanya.

Dr Chaw berkata, lelaki memiliki sejumlah kecil tisu payu dara yang tidak berfungsi. Pada peringkat kanak-kanak tisu payu dara kanak-kanak lelaki dan perempuan hanya terdiri daripada struktur seperti tiub atau saluran yang dikenali sebagai puting susu.

Bagi perempuan apabila datang haid, ovari menghasilkan estrogen menjadikan saluran itu membesar dan kelenjar susu terbentuk di hujung puting itu. Lelaki pula, hormon testosteron menekan pertumbuhan tisu payu dara dan pembentukan kelenjar susu.

Justeru, payu dara lelaki selalunya kecil dengan puting yang tidak terbentuk dan sejumlah kecil lemak dan tisu.

"Lelaki yang diserang barah payu dara selalunya gemuk kerana golongan itu memiliki lebih banyak tisu pada payu dara," katanya.

Walaupun barah payu dara lelaki agak jarang berlaku tetapi Persatuan Barah Amerika meramalkan untuk tahun ini, 1,990 kes baru akan dicatatkan dengan 480 kematian dicatatkan.

Simptom barah payu dara antara lelaki dan wanita juga sama. Ada ketulan kecil di payu dara atau ketiak, lelehan daripada puting atau kulit di payu dara yang termasuk ke dalam membentuk lekuk.

INFO: Faktor risiko barah payu dara pada lelaki
# Berusia
# Memiliki sejarah keluarga yang didiagnos dengan barah payu dara
# Terdedah pada rawatan radiasi
# Penyakit hati yang kronik
# Berhadapan dengan masalah hormon perempuan berlebihan (sindrom klinefelter)
# Obes

Rawatan
Tiada beza rawatan barah payu dara sama ada untuk lelaki atau perempuan. Apa yang perlu ditekankan adalah pada tahap mana barah itu berada. Ada pesakit yang hanya memerlukan pembedahan kecil dan tanpa kemoterapi. Ada juga yang memerlukan rawatan kemoterapi atau terapi hormon. Rujukan : Berita Harian # Ahad, 26 Oktober 2008 #

p/s : kepada lelaki tu selalulah check payu dara anda...

10,000 mati sehari akibat rokok

Hasil kajian mendedahkan tidak ada kesan pencegahan yang berkesan terhadap perokok

MINGGU ini, saya ingin memperkatakan mengenai tajuk “merokok mengundang kematian”. Mungkin ungkapan ini sering diperkatakan sehingga kebanyakan daripada anda bosan mendengarnya. Bagi yang merokok, ungkapan seperti ini seolah-olah tidak diendahkan.

Bagaimanapun, anda yang merokok harus ingat bahawa bukan anda saja yang akan menerima kesan atau akibat daripada merokok, malahan mereka yang berada di sekeliling anda terutama keluarga akan menerima kesan yang sama atau mungkin lebih teruk.

Artikel saya minggu lalu mengenai zarah radikal bebas yang memberi kesan negatif kepada tubuh badan sehinggakan boleh menyebabkan pelbagai penyakit kronik. Tetapi zarah radikal bebas ini boleh dielakkan jika anda mengetahui punca pembentukannya yang paling kuat.

Satu daripada punca pembentukan zarah radikal bebas yang paling kuat (dan juga yang paling mudah dielakkan) adalah merokok. Dalam hal ini, toksin yang terkandung dalam asap rokok bertindak sebagai pemangkin untuk membebaskan elektron daripada atomnya, dan dengan itu mewujudkan zarah radikal bebas. Statistik juga menunjukkan hubungan yang jelas di antara kewujudan zarah radikal bebas itu dan kejadian sel kanser.

Walaupun statistik itu membimbangkan, sekurang-kurangnya perokok itu mempunyai pilihan sama ada untuk merokok atau tidak merokok. Orang yang terpaksa menyedut asap rokok orang lain tidak ada pilihan sedemikian. Berikut adalah gejala orang yang terpaksa menyedut asap rokok orang lain berbanding orang yang langsung tidak merokok:

* lima kali lebih karbon monoksida disedut
* empat kali lebih tar dan nikotin disedut
* empat puluh kali lebih karsinogen disedut

Perokok memang mendapat semua gejala ini, kedua-dua kesan secara langsung atau asap baru yang ditambah dengan kesan secara tidak langsung.


Bahan kimia yang disebut di atas, iaitu karbon monoksida, tar dan nikotin, selain bersifat karsinogen, juga meningkatkan tekanan darah dan kadar denyutan jantung, menambah risiko arteriosklerosis (penyumbatan jantung dengan kolesterol), dan menambah kejadian darah beku dan trombosis. Lebih dahsyat lagi, bahan kimia itu mengganggu ritma denyutan jantung biasa.

Malangnya, hasil kajian dan statistik, mendedahkan tidak ada kesan pencegahan yang berkesan terhadap perokok. Sebaliknya, mereka dengan megah memberitahu tabiat itu dapat meningkatkan tahap kecerdasan mental, membaiki sistem penghadaman, mengurangkan tekanan mental dan secara keseluruhannya, menghasilkan pendekatan hidup yang lebih menyenangkan dan dengan mudah mengenepikan segala kesan buruk terhadap diri dan orang di sekeliling mereka.

Namun bukan perokok saja patut dipersalahkan kerana tabiat buruk itu. Kalau tidak ada pengilang rokok dan tembakau, rokok tidak akan wujud.

Dr Nakajima, dulunya Ketua Pengarah Perubatan Pertubuhan Kesihatan Dunia, dalam keterangannya baru-baru ini mengatakan “bukan saja di negara maju tetapi juga di negara membangun, kira-kira separuh daripada perokok akhirnya mati akibat penggunaan tembakau. Setiap tahun ketagihan rokok menyebabkan kira-kira 3.5 juta kematian di seluruh dunia dan jumlah itu dijangka bertambah kepada 10 juta setahun pada tahun 2020 dan seterusnya, dan 7 juta daripada kematian itu adalah di negara membangun. Lima puluh peratus daripada kematian yang sia-sia itu kini berlaku kepada orang pertengahan umur (35-69), yang kerugian kira-kira 22 tahun jangka hidup biasa.

”Setiap hari, hampir 10,000 orang mati di seluruh dunia akibat penggunaan tembakau.”

Terdapat pelbagai statistik menunjukkan bilangan perokok dan berapa ramai yang mendapat kesan buruk daripadanya. Apa yang pasti, statistik semakin meningkat. Mungkin pendedahan ini terlalu mudah, namun saya benar-benar percaya bahawa kita yang membuat pilihan sama ada untuk merokok atau tidak. Kita jugalah yang membuat pilihan untuk berhenti. Selepas anda mendapat kekuatan untuk berhenti merokok, gunakan kekuatan dalaman dan azam untuk kekal demikian dan yakinlah bahawa anda membuat pilihan yang betul.

Saya mempunyai impian melihat Malaysia bebas daripada rokok. Bukan untuk kebaikan saya tetapi demi anak-anak dan demi generasi akan datang. Alangkah baiknya jika masyarakat kita mempunyai lebih orang yang berpendirian sedemikian, khususnya dalam kerajaan hari ini, untuk membantu mencapai impian itu.

Rujukan : Berita Harian # Ahad, 26 Oktober 2008 #

Diet Barat punca penyakit jantung

WASHINGTON: Diet Barat membabitkan makanan bergoreng, makanan ringan bergaram dan daging menyumbangkan kepada 35 peratus penyakit jantung di seluruh dunia.

Kajian penyelidik di 52 negara menunjukkan mereka yang makan diet Barat berasaskan daging, telur dan makanan ringan lebih berisiko mendapat serangan jantung, manakala makan lebih buah dan sayur mempunyai risiko lebih rendah.

Kajian itu menyokong penemuan sebelum ini bahawa makanan ringan dan lemak haiwan sebabkan sakit jantung.

Dr Salim Yusuf dari Universiti McMaster di Ontario, Kanada dan rakannya sudah menyoal lebih 16,000 pesakit dengan 5,700 daripada mereka mendapat serangan jantung pertama.

Mereka terbahagi tiga kumpulan iaitu pertama dilabel oriental kerana kaya dengan taufu dan soya serta sumber lain," kata penyelidik yang menulis laporan disiarkan jurnal Circulation.

"Faktor kedua western kerana mengandungi makanan bergoreng, makanan ringan bergaram dan pengambilan daging manakala faktor diet ketiga dilabelkan prudent kerana kaya dengan buah dan sayur."

Mereka yang makan lebih banyak buah dan sayur mempunyai 30 peratus risiko rendah untuk diserang penyakit jantung.

Kelompok yang makan diet Barat berisiko serangan jantung 35 peratus. Peserta diet oriental mempunyai risiko secara purata diserang sakit jantung. - Reuters

Thursday, October 23, 2008

SEDARKAH ANDA...

90% daripada penyakit hari ini bermula di usus besar! Jika orang-orang tua kite dahulu, mereka hanya makan 2-3 kali sahaja seminggu. Hari ini ’makan’ telah menjadi satu budaya. Kalau ada majlis jamuan atau persidangan, beraneka makanan dihidangkan! Jika bulan puasa pula, pelbagai jenis makanan yang tidak pernah dimakan waktu hari biase, dimakan ketika berbuka puasa. Jika majlis perkahwinan pula, jikalau air yang dihidangkan ialah air kosong, kita akan dikatakan ’kedekut’.
Tetapi hari ini, pada hari biasa pun kita makan enam kali @ paling tidak tujuh kali sehari. Akan tetapi kita juga perlu membuang air besar seelok-eloknya 2 kali sehari @ sekurang-kurangnya sekali sehari. Ramai anak-anak bila ada masa hendak buang air, terencat kerana tandas yang kotor. Ini akhirnya akan menjadikan anda sebagai dewasa yang mempunyai masalah sembelit.

Kita tidak pernah terbayang sistem penghadaman kita dari mulut ke rectum @ hampir 60-65 kaki (18.29-19.81 meter) panjangnya. Proses penghadaman bermula didalam mulut ke perut dan terus dihancurkan di dalam usus kecil yang panjangnya dalam anggaran 20-25 kaki dan berpusing kedudukannya dalam perut kita. Dan dari usus kecil bersambung ke usus besar dan di dalam usus besar makanan yang tidak diserap dijadikan najis. Airnya dikeluarkan sebagai air kencing dan najisnya dikeluarkan melalui dubur atau rectum. Sejumlah besar dari makanan kita dijadikan najis dan mesti dikeluarkan dari usus besar.
Jika najis tidak dikelurkan dari usus besar, terdapat satu bacteria yang sememangnya wujud dalam usus akan bercambah dan menjadikan najis itu busuk dan mengelurkan racun. Serentak dengan ini bacteria yang bersih yang diberi nama LACTOBACILLUS yang berfungsi mengeluarkan vitamin K dan vitamin B complex untuk membantu proses penghadaman akan mati. Bacteria-bacteria lain akan bercambah termasuk yis @ ragi yang diberi nama CANDIDA. Bila Candida bercambah, ia akan mengeluarkan gas dan dengan itu perut kita @ perut anak kecil itu kembung. Jika ketuk dengan jari, perut kembung berbunyi semacam bunyi gendang. Ini akan menyebabkan anak sakit perut dan dengan itu akan sering menangis.
Apa yang lebih teruk ialah Candida ini akan merayap ke usus kecil dan menebuk lubang untuk masuk ke dalam saluran-saluran darah dipermukaan usus kecil. Hasil dari penebukan ini, saluran-saluran kecil yang selalu menjadi penapis akan berlubang dan dengan itu racun-racun ini lama-kelamaan akan menyebabkan penyakit-penyakit seperti alahan, asma @ lelah, penyakit sendi seperti arthritis.
Dengan itu adalah amat penting bagi kita untuk membuang air besar sebaik-baiknya dua kali sehari @ sekurang-kurangnya sekali sehari. Cara yang baik untuk membolehkan kita membuang air besar ialah bangun pagi minum air segelas diikuti dengan air yang dibuat dari jenis ulam seperti pegaga, ulam raja dan lain-lain.
Hari ini, kita ada juga cara untuk merawat orang yang telah mengalami sembelit begitu lama iaitu dengan mengunakan satu teknik yang diberi nama COLON HYDROTHERAPY iaitu rawatan mencuci usus.
Kita mengunakan mesin untuk mengelurkan khazanah yang tersimpan begitu lama dan alhamdulilah telah membantu ramai pesakit kronik termasuk mereka yang terlalu gemuk dan ada masalah seperti darah tinggi @ kencing manis, arthritis dan lain-lain.
Ini boleh juga membantu mereka yang menghidap penyakit seperti asma dan alahan dan lain-lain. Namun, kaedah ini memerlukan sejumlah wang yang sangat besar bagi kebanyakan daripada para pesakit dan adalah agak mustahil untuk mereka melakukan ’operation’ ini.
Dato' Dr. Noor Laily Dato' Abu Bakar
Institut Pembangunan keluarga & Kanak-kanak