Sunday, October 26, 2008

Barah payu dara lelaki

Sejarah keluarga, obes berisiko diserang penyakit

WALAUPUN anda seorang lelaki, kemungkinan untuk diserang barah payu dara tetap ada, apatah lagi jika anda obes dan lahir dalam keluarga yang memiliki sejarah penyakit itu.

Pakar Bedah Am, Hospital Damai Jalan Ipoh, Dr Chaw Kien Chee, berkata umumnya peratusan kes barah payu dara lelaki agak kecil iaitu satu peratus dalam semua kes barah payu dara.

Bagaimanapun, katanya kerana kebanyakan lelaki beranggapan barah payu dara itu penyakit wanita, ada yang tidak mempedulikan simptom yang ada pada mereka.

Justeru, katanya, apabila pesakit lelaki datang mendapatkan rawatan kebanyakan mereka sudah berada di tahap akhir.

"Simptom paling ketara adalah ketulan di payu dara. Disebabkan payu dara lelaki lebih dekat dengan dada, ia lebih mudah merebak berbanding barah payu dara yang menyerang wanita," katanya.

Dr Chaw berkata, lelaki memiliki sejumlah kecil tisu payu dara yang tidak berfungsi. Pada peringkat kanak-kanak tisu payu dara kanak-kanak lelaki dan perempuan hanya terdiri daripada struktur seperti tiub atau saluran yang dikenali sebagai puting susu.

Bagi perempuan apabila datang haid, ovari menghasilkan estrogen menjadikan saluran itu membesar dan kelenjar susu terbentuk di hujung puting itu. Lelaki pula, hormon testosteron menekan pertumbuhan tisu payu dara dan pembentukan kelenjar susu.

Justeru, payu dara lelaki selalunya kecil dengan puting yang tidak terbentuk dan sejumlah kecil lemak dan tisu.

"Lelaki yang diserang barah payu dara selalunya gemuk kerana golongan itu memiliki lebih banyak tisu pada payu dara," katanya.

Walaupun barah payu dara lelaki agak jarang berlaku tetapi Persatuan Barah Amerika meramalkan untuk tahun ini, 1,990 kes baru akan dicatatkan dengan 480 kematian dicatatkan.

Simptom barah payu dara antara lelaki dan wanita juga sama. Ada ketulan kecil di payu dara atau ketiak, lelehan daripada puting atau kulit di payu dara yang termasuk ke dalam membentuk lekuk.

INFO: Faktor risiko barah payu dara pada lelaki
# Berusia
# Memiliki sejarah keluarga yang didiagnos dengan barah payu dara
# Terdedah pada rawatan radiasi
# Penyakit hati yang kronik
# Berhadapan dengan masalah hormon perempuan berlebihan (sindrom klinefelter)
# Obes

Rawatan
Tiada beza rawatan barah payu dara sama ada untuk lelaki atau perempuan. Apa yang perlu ditekankan adalah pada tahap mana barah itu berada. Ada pesakit yang hanya memerlukan pembedahan kecil dan tanpa kemoterapi. Ada juga yang memerlukan rawatan kemoterapi atau terapi hormon. Rujukan : Berita Harian # Ahad, 26 Oktober 2008 #

p/s : kepada lelaki tu selalulah check payu dara anda...

10,000 mati sehari akibat rokok

Hasil kajian mendedahkan tidak ada kesan pencegahan yang berkesan terhadap perokok

MINGGU ini, saya ingin memperkatakan mengenai tajuk “merokok mengundang kematian”. Mungkin ungkapan ini sering diperkatakan sehingga kebanyakan daripada anda bosan mendengarnya. Bagi yang merokok, ungkapan seperti ini seolah-olah tidak diendahkan.

Bagaimanapun, anda yang merokok harus ingat bahawa bukan anda saja yang akan menerima kesan atau akibat daripada merokok, malahan mereka yang berada di sekeliling anda terutama keluarga akan menerima kesan yang sama atau mungkin lebih teruk.

Artikel saya minggu lalu mengenai zarah radikal bebas yang memberi kesan negatif kepada tubuh badan sehinggakan boleh menyebabkan pelbagai penyakit kronik. Tetapi zarah radikal bebas ini boleh dielakkan jika anda mengetahui punca pembentukannya yang paling kuat.

Satu daripada punca pembentukan zarah radikal bebas yang paling kuat (dan juga yang paling mudah dielakkan) adalah merokok. Dalam hal ini, toksin yang terkandung dalam asap rokok bertindak sebagai pemangkin untuk membebaskan elektron daripada atomnya, dan dengan itu mewujudkan zarah radikal bebas. Statistik juga menunjukkan hubungan yang jelas di antara kewujudan zarah radikal bebas itu dan kejadian sel kanser.

Walaupun statistik itu membimbangkan, sekurang-kurangnya perokok itu mempunyai pilihan sama ada untuk merokok atau tidak merokok. Orang yang terpaksa menyedut asap rokok orang lain tidak ada pilihan sedemikian. Berikut adalah gejala orang yang terpaksa menyedut asap rokok orang lain berbanding orang yang langsung tidak merokok:

* lima kali lebih karbon monoksida disedut
* empat kali lebih tar dan nikotin disedut
* empat puluh kali lebih karsinogen disedut

Perokok memang mendapat semua gejala ini, kedua-dua kesan secara langsung atau asap baru yang ditambah dengan kesan secara tidak langsung.


Bahan kimia yang disebut di atas, iaitu karbon monoksida, tar dan nikotin, selain bersifat karsinogen, juga meningkatkan tekanan darah dan kadar denyutan jantung, menambah risiko arteriosklerosis (penyumbatan jantung dengan kolesterol), dan menambah kejadian darah beku dan trombosis. Lebih dahsyat lagi, bahan kimia itu mengganggu ritma denyutan jantung biasa.

Malangnya, hasil kajian dan statistik, mendedahkan tidak ada kesan pencegahan yang berkesan terhadap perokok. Sebaliknya, mereka dengan megah memberitahu tabiat itu dapat meningkatkan tahap kecerdasan mental, membaiki sistem penghadaman, mengurangkan tekanan mental dan secara keseluruhannya, menghasilkan pendekatan hidup yang lebih menyenangkan dan dengan mudah mengenepikan segala kesan buruk terhadap diri dan orang di sekeliling mereka.

Namun bukan perokok saja patut dipersalahkan kerana tabiat buruk itu. Kalau tidak ada pengilang rokok dan tembakau, rokok tidak akan wujud.

Dr Nakajima, dulunya Ketua Pengarah Perubatan Pertubuhan Kesihatan Dunia, dalam keterangannya baru-baru ini mengatakan “bukan saja di negara maju tetapi juga di negara membangun, kira-kira separuh daripada perokok akhirnya mati akibat penggunaan tembakau. Setiap tahun ketagihan rokok menyebabkan kira-kira 3.5 juta kematian di seluruh dunia dan jumlah itu dijangka bertambah kepada 10 juta setahun pada tahun 2020 dan seterusnya, dan 7 juta daripada kematian itu adalah di negara membangun. Lima puluh peratus daripada kematian yang sia-sia itu kini berlaku kepada orang pertengahan umur (35-69), yang kerugian kira-kira 22 tahun jangka hidup biasa.

”Setiap hari, hampir 10,000 orang mati di seluruh dunia akibat penggunaan tembakau.”

Terdapat pelbagai statistik menunjukkan bilangan perokok dan berapa ramai yang mendapat kesan buruk daripadanya. Apa yang pasti, statistik semakin meningkat. Mungkin pendedahan ini terlalu mudah, namun saya benar-benar percaya bahawa kita yang membuat pilihan sama ada untuk merokok atau tidak. Kita jugalah yang membuat pilihan untuk berhenti. Selepas anda mendapat kekuatan untuk berhenti merokok, gunakan kekuatan dalaman dan azam untuk kekal demikian dan yakinlah bahawa anda membuat pilihan yang betul.

Saya mempunyai impian melihat Malaysia bebas daripada rokok. Bukan untuk kebaikan saya tetapi demi anak-anak dan demi generasi akan datang. Alangkah baiknya jika masyarakat kita mempunyai lebih orang yang berpendirian sedemikian, khususnya dalam kerajaan hari ini, untuk membantu mencapai impian itu.

Rujukan : Berita Harian # Ahad, 26 Oktober 2008 #

Diet Barat punca penyakit jantung

WASHINGTON: Diet Barat membabitkan makanan bergoreng, makanan ringan bergaram dan daging menyumbangkan kepada 35 peratus penyakit jantung di seluruh dunia.

Kajian penyelidik di 52 negara menunjukkan mereka yang makan diet Barat berasaskan daging, telur dan makanan ringan lebih berisiko mendapat serangan jantung, manakala makan lebih buah dan sayur mempunyai risiko lebih rendah.

Kajian itu menyokong penemuan sebelum ini bahawa makanan ringan dan lemak haiwan sebabkan sakit jantung.

Dr Salim Yusuf dari Universiti McMaster di Ontario, Kanada dan rakannya sudah menyoal lebih 16,000 pesakit dengan 5,700 daripada mereka mendapat serangan jantung pertama.

Mereka terbahagi tiga kumpulan iaitu pertama dilabel oriental kerana kaya dengan taufu dan soya serta sumber lain," kata penyelidik yang menulis laporan disiarkan jurnal Circulation.

"Faktor kedua western kerana mengandungi makanan bergoreng, makanan ringan bergaram dan pengambilan daging manakala faktor diet ketiga dilabelkan prudent kerana kaya dengan buah dan sayur."

Mereka yang makan lebih banyak buah dan sayur mempunyai 30 peratus risiko rendah untuk diserang penyakit jantung.

Kelompok yang makan diet Barat berisiko serangan jantung 35 peratus. Peserta diet oriental mempunyai risiko secara purata diserang sakit jantung. - Reuters

Thursday, October 23, 2008

SEDARKAH ANDA...

90% daripada penyakit hari ini bermula di usus besar! Jika orang-orang tua kite dahulu, mereka hanya makan 2-3 kali sahaja seminggu. Hari ini ’makan’ telah menjadi satu budaya. Kalau ada majlis jamuan atau persidangan, beraneka makanan dihidangkan! Jika bulan puasa pula, pelbagai jenis makanan yang tidak pernah dimakan waktu hari biase, dimakan ketika berbuka puasa. Jika majlis perkahwinan pula, jikalau air yang dihidangkan ialah air kosong, kita akan dikatakan ’kedekut’.
Tetapi hari ini, pada hari biasa pun kita makan enam kali @ paling tidak tujuh kali sehari. Akan tetapi kita juga perlu membuang air besar seelok-eloknya 2 kali sehari @ sekurang-kurangnya sekali sehari. Ramai anak-anak bila ada masa hendak buang air, terencat kerana tandas yang kotor. Ini akhirnya akan menjadikan anda sebagai dewasa yang mempunyai masalah sembelit.

Kita tidak pernah terbayang sistem penghadaman kita dari mulut ke rectum @ hampir 60-65 kaki (18.29-19.81 meter) panjangnya. Proses penghadaman bermula didalam mulut ke perut dan terus dihancurkan di dalam usus kecil yang panjangnya dalam anggaran 20-25 kaki dan berpusing kedudukannya dalam perut kita. Dan dari usus kecil bersambung ke usus besar dan di dalam usus besar makanan yang tidak diserap dijadikan najis. Airnya dikeluarkan sebagai air kencing dan najisnya dikeluarkan melalui dubur atau rectum. Sejumlah besar dari makanan kita dijadikan najis dan mesti dikeluarkan dari usus besar.
Jika najis tidak dikelurkan dari usus besar, terdapat satu bacteria yang sememangnya wujud dalam usus akan bercambah dan menjadikan najis itu busuk dan mengelurkan racun. Serentak dengan ini bacteria yang bersih yang diberi nama LACTOBACILLUS yang berfungsi mengeluarkan vitamin K dan vitamin B complex untuk membantu proses penghadaman akan mati. Bacteria-bacteria lain akan bercambah termasuk yis @ ragi yang diberi nama CANDIDA. Bila Candida bercambah, ia akan mengeluarkan gas dan dengan itu perut kita @ perut anak kecil itu kembung. Jika ketuk dengan jari, perut kembung berbunyi semacam bunyi gendang. Ini akan menyebabkan anak sakit perut dan dengan itu akan sering menangis.
Apa yang lebih teruk ialah Candida ini akan merayap ke usus kecil dan menebuk lubang untuk masuk ke dalam saluran-saluran darah dipermukaan usus kecil. Hasil dari penebukan ini, saluran-saluran kecil yang selalu menjadi penapis akan berlubang dan dengan itu racun-racun ini lama-kelamaan akan menyebabkan penyakit-penyakit seperti alahan, asma @ lelah, penyakit sendi seperti arthritis.
Dengan itu adalah amat penting bagi kita untuk membuang air besar sebaik-baiknya dua kali sehari @ sekurang-kurangnya sekali sehari. Cara yang baik untuk membolehkan kita membuang air besar ialah bangun pagi minum air segelas diikuti dengan air yang dibuat dari jenis ulam seperti pegaga, ulam raja dan lain-lain.
Hari ini, kita ada juga cara untuk merawat orang yang telah mengalami sembelit begitu lama iaitu dengan mengunakan satu teknik yang diberi nama COLON HYDROTHERAPY iaitu rawatan mencuci usus.
Kita mengunakan mesin untuk mengelurkan khazanah yang tersimpan begitu lama dan alhamdulilah telah membantu ramai pesakit kronik termasuk mereka yang terlalu gemuk dan ada masalah seperti darah tinggi @ kencing manis, arthritis dan lain-lain.
Ini boleh juga membantu mereka yang menghidap penyakit seperti asma dan alahan dan lain-lain. Namun, kaedah ini memerlukan sejumlah wang yang sangat besar bagi kebanyakan daripada para pesakit dan adalah agak mustahil untuk mereka melakukan ’operation’ ini.
Dato' Dr. Noor Laily Dato' Abu Bakar
Institut Pembangunan keluarga & Kanak-kanak

Tanda2 Awal Kanser

(1) Kanser pangkal rahim - Sebarang lelehan atau pendarahan yg luarbiasa,
sakit selepas bersenggama dan turun berat badan.

(2) Kanser payudara - Bengkak atau gumpalan di buah dada, keluar cairan
berdarah dari puting, pembesaran kelenjar di ketiak, kedutan pada kulit di
buah dada.

(3) Kanser usus besar - Perubahan tabiat membuang air, hilang berat badan,
sakit dalam perut dan usus, berlaku pendarahan semasa membuang air.

(4) Kanser paru-paru - Batuk kuat berterusan, batuk berdarah, nafas
termengah-mengah, sakit dada dan hilang berat badan.

(5) Kanser perut - Hilang berat badan, muntah berdarah, sistem pencernaan
yg tidak teratur, cepat kenyang walaupun makan sedikit.

(6) Kanser limpa - Sakit di bahagian abdomen, hilang selera makan, turun
berat badan, kulit dan mata menjadi kuning dan bahagian abdomen membengkak.

(7) Kanser ovari - Haid tidak teratur, tumbuhan keras di bahagian abdomen,
sakit semasa bersenggama, ketumbuhan bulu rambut yg melampau, suara menjadi
lebih mendalam.

(8) Kanser otak - Sakit kepala, muntah-muntah, gangguan penglihatan, lemah
atau lumpuh, pening / pitam, pelupa, perubahan personaliti.

(9) Kanser prostat - Sukar dan sakit semasa kencing yang berpanjangan.

(10) Kanser darah (Leukimia) - Letih, pucat, mudah lebam dan mudah mendapat
jangkitan (infection).

(11) Kanser tekak - Suara garau / serak, ada ketumbuhan di tekak, sukar
menelan dan kelenjar membengkak di leher.
____________ ____

10 PENYEBAB UTAMA KANSER
(1) Makanan

(2) Alkohol

(3) Sinaran cahaya matahari

(4) Pengambilan ubat

(5) Perokok yang tidak aktif

(6) Tembakau

(7) Radiasi

(8) Pekerjaan

(9) Pencemaran air dan udara

(10) Keturunan